Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri S Subramaniam, berkata peningkatan tahap pendidikan terbukti dengan penurunan kadar rakyat yang hanya menamatkan pendidikan di sekolah rendah iaitu 26 peratus pada tahun 2010, berbanding 61 peratus pada 1990.
Subramaniam berkata, faktor yang disebut menyebabkan pengurangan tenaga kerja tempatan untuk mengisi jawatan di sektor yang memerlukan kemahiran rendah terutama bidang kerja yang dikategorikan sebagai 3D (dirty, difficult, dangerous) yang banyak terdapat dalam sektor pembinaan.
Menurut beliau, terdapat kira-kira 1.4 juta pekerja asing yang bekerja di Malaysia sehingga September lalu.
Jumlah itu, katanya, tidak termasuk kira-kira 1 juta yang masih dalam proses permohonan pemutihan di bawah 6P untuk mendapat kebenaran rasmi bekerja di negara ini.
"Jika dicampur, dianggarkan negara ada kira-kira 2.2 juta pekerja asing setakat ini," katanya.
Bagaimanapun, katanya, dalam jawatan yang memerlukan kemahiran tinggi seperti penyelia, juruteknik dan jurutera, ia kebanyakannya diisi warga tempatan.
Subramaniam menjelaskan bahawa kementerian sentiasa berusaha mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing seperti melakukan transformasi kerja dan tugas dalam sektor tertentu.
Antara yang dilaksanakan ialah menggunakan Kaedah Pembinaan Industri (IBS) dalam sektor pembinaan di mana kaedah ini boleh menjimatkan tenaga buruh binaan.
"Sebaliknya kaedah ini akan membuka lebih peluang pekerjaan untuk jurutera, juruteknik dan penyelia yang boleh diambil dari kalangan pekerja tempatan," katanya.
Tranformasi pekerjaan itu, katanya, boleh diperluas di sektor lain seperti industri makanan, pembuatan dan sebagainya.
Sebagai contoh, pengusaha makanan boleh memperluas konsep layan diri bagi mengelak mengupah pekerja asing bekerja di kedai makan. - BERNAMA
_______________________________________________________________
DANNY DANIEL (^_^)
_______________________________________________________________
No comments:
Post a Comment