Thursday 13 December 2012

TUDM lakukan penerbangan ihsan bawa anggota sakit ke hospital

KOTA KINABALU: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sekali lagi melakukan penerbangan ihsan semalam membawa seorang pesakit anggota tentera dari Kuching, Sarawak ke Hospital Daerah Kota Belud, dekat sini.

Koperal Ruspada Meng, 31, berasal dari Kota Belud menghidap lumpuh separuh bahagian badan berikutan diserang demam campak sejak 6 Oktober lalu.
Pesawat yang melakukan 'Medical Evacuation' (MADEVAC) itu dikendalikan Mejar Roslil Khitam Ahmad berlepas dari pengkalan udara TUDM Kuching dan tiba di terminal dua Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu kira-kira 7.30 malam.


Meng Arin, 50, bapa kepada Ruspada yang bersama anaknya itu dalam penerbangan, berkata, anaknya pengsan ketika bertugas di Kem Tentera Penrissen, Batu 8, Kuching pada 3 Oktober, dan beliau membawanya ke hospital angkatan tentera di Kuching untuk rawatan sebelum menghantarnya ke Hospital Umum Sarawak.

"Selepas beberapa hari menerima rawatan, saya dimaklumkan anak saya menghidap demam campak yang mengakibatkan separuh daripada badannya lumpuh.

"Semalam saya mengambil keputusan memohon supaya Ruspada dibawa ke Sabah untuk rawatan susulan," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Pegawai Perhubungan Media Kementerian Pertahanan Malaysia Cawangan Sabah, Lt Mohd Hafiz Mohamed Sabilan, berkata penerbangan itu adalah yang kelapan dilakukan TUDM tahun ini.
"Selain penerbangan ihsan untuk orang awam, TUDM juga membuat penerbangan khas memberi perhatian sepenuhnya terhadap kebajikan anggota tentera khususnya yang mengalami masalah kesihatan," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment

KLIK SAYA

Rakan-rakan Blogger